Hadith Pilihan Hari ini


Random Hadith Widget

Friday, October 19, 2012

Alkisah banglo runtuh di Seksyen 7 Shah Alam














ANGGOTA bomba melihat bumbung konkrit yang runtuh hingga mengakibatkan seorang buruh maut manakala tujuh lagi cedera di Shah Alam semalam.



Mati dihempap konkrit 40 tan


SHAH ALAM – Sekumpulan enam buruh Indonesia yang sedang melakukan kerja-kerja ubah suai di sebuah banglo mewah bernilai hampir RM4 juta bernasib malang apabila salah seorang mereka maut manakala bakinya cedera parah apabila bumbung konkrit seberat 40 tan kediaman tersebut tiba-tiba runtuh.
Kejadian pukul 4.20 petang semalam di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7 di sini itu berlaku ketika kesemua buruh berkenaan sedang melakukan pengubahsuaian di bahagian dalam serta aras atas banglo dua tingkat tersebut.
Ekoran runtuhan itu, kesemua mangsa terperangkap di bawah timbunan konkrit hampir 40 minit.
Difahamkan, banglo enam bilik itu dipercayai milik seorang ahli perniagaan. Ia diubah suai untuk menambah bilik surau di tingkat atas dan membuat kolam mini di aras bawah.
....................................................................................

Ulasan aku:


Pemilikan aset dalam bentuk property dewasa ini merupakan suatu keperluan yang sangat penting. Boleh jadi ianya mempunyai potensi yang sangat besar untuk dijadikan sebagai pelaburan jangka masa panjang. Sudah menjadi budaya di bandar-bandar utama di Malaysia, pembangunan kawasan kediaman yang pesat memungkinkan perkembangan yang drastik bagi sesebuah bandar itu. 

Suntingan akhbar online di atas (Sumber) amat menarik perhatian aku tentang kajian yang aku telah jalankan sekitar tahun 2010 dulu. Dalam kajian itu, aku memberi tumpuan kepada kesan/impak anjakan bangunan (building extension/modification) terhadap kawasan kejiranan perumahan teres kos rendah. Tidak jauh bezanya dengan apa yang berlaku semalam. Isunya tetap sama, "kegilaan dalam bentuk keinginan atau mungkin keperluan" masyarakat bandar membuat anjakan bangunan.

Apa yang menarik menjadi persoalan dan kerisauan sepanjang pemerhatian aku (anda juga mungkin berfikiran yang sama) adalah:

  1. Menurut laporan media (setakat ini), tidak ada bukti yang menunjukkan terdapatnya penyelia tapak (yang bertaraf kompeten) menyelia kawasan projek anjakan berkenaan;
  2. Aku juga mungkin berani menyatakan disini, spesifikasi yang disediakan bagi tujuan anjakan bangunan ini tidak dijalankan secara profesional. Boleh jadi, spesifikasi dan semua kerja-kerja berkaitan teknikal 100% diserahkan kepada tenaga kerja berkenaan (buruh Indonesia - Takziah kepada yang maut dan cedera).
  3. Kegagalan struktur menampung beban konkrit bernilai "40 tan" (mungkin anggaran kasar media).
  4. Apakah kajian lanjutan yang akan dilakukan oleh pihak KPKT, MBSA, dan badan yang berkaitan...? 
  5. Selain daripada menghantar pasukan penyelamat BOMBA, ambulans, SMART team, POLIS,......amat penting untuk melibatkan pasukan penyiasat / forensik bangunan yang terdiri daripada pakar-pakar berkenaan dengan kondisi bangunan terlibat serta dalam menilai punca kejadian. Mungkin pihak berkenaan perlu menubuhkan pasukan berkenaan yang terdiri daripada jurutera bangunan, jurutera struktur dan juruukur bangunan yang mempunyai kepakaran dalam bidang bangunan dan kawalan bangunan.
  6. Ehhhh....Pengerusi SPR kita berjiran dengan rumah (disebut sebagai mangsa) rupanya....


ur_whispers
Semoga ALLAH SWT merahmati mangsa runtuhan
mereka adalah saudara kita dari seberang 
yang berusaha mencari rezeki yang halal


8 comments:

  1. Innalillahiwainnailahirojiun kepada mereka yg telah pergi..

    Proses renovation mengikut cara org kita; pada dasarnya, jika kita mempunyai wang, kita melantik kontraktor mengikut bajet setimpal yg kita rs kn pd pandangan kita, dan hnya mengambil kira faktor fasad dan estetika bgn. Jika cantik dan gah, itulah kebanggaan kita.
    Jarang sekali mengambil kira perspektif keselamatan atau kekuatan struktur yg sepatutnya.Jika ada pun, itu perkara paling terakhir sekali.
    Itu sikap org kita.


    Melihat pd gmbr, dgn apa yg berlaku,jika rumah ini telah lama dibina, sy membaca berdasarkan perkataan 'rumah yg diubahsuai', dinding konkrit yg begitu tebal boleh collapsed semua berlaku disebabkan kegagalan struktur dan kegagalan penyambungan. Kontraktor asal tidak perlu dipersalahkan, kerana beliau barangkali membina atas keperluan hanya sbg menanggung struktur sediada. Kontraktor yg baru sepatutnya arif dan peka tentang keperluan dinding baru..

    Apabila proses renovasi baru yg dibuat, tanpa rundingan pihak2 yg sepatutnya, bebanan menjadi berlebihan, dan akhirnya dinding tunduk menyembah ke bumi..Jika melihat dinding yg rebah, tidak pecah berkecai, menunjukkan ia utuh dr segi ratio materialnya. tp proses penyambungan (jointing) yg kurang/tidak mampu menanggung beban konkrit yg berat

    tetapi apa akan berlaku selepas ini,
    sudah pastinya, kawasan akan dibersihkan, berita akan hanya tinggal berita..
    kes pasti akan disenyapkan begitu shj..
    tanpa sebarang susulan..
    ini pandangan saya..

    perkara ni sebenarnya boleh dielakkan..
    sy x mahu berbunyi klise`, tp hakikatnya, jika mereka mempunyai ilmu yg dipraktikan, yg menyeluruh terhadap ilmu bangunan, perkara ini dpt dielakkan..kerana itu Juruukur Bangunan perlu tahu ilmu bangunan secara menyeluruh..itu yg patut dipasakkan dlm fikiran mereka..kerana setiap satu komponen dlm pembinaan itu saling berkait dan menyumbang ke arah kemantapan bidang kita..ini lah jdnya bila pembina hanya bersikap membina, dan pereka hanya bersikap mereka-bangunan.. di mana kesinambungannya? Juruukur Bangunan lah sbnarnya kesinambungannya..Klise' bukan? Tetapi itu lah hakikatnya..

    Sr Nur Azfahani Ahmad

    ReplyDelete
  2. Saya amat bersetuju dgn pandangan Sr. Nur Azfahani Ahmad (juga boleh dirujuk sebagai "pakar" dlm hal ini). Apabila sesuatu perkara itu melibatkan isu-isu teknikal dalam kerja-kerja anjakan bangunan / ronovasi / modifikasi / tambahan, maka proses rekabentuk dan semakan yang sangat teliti perlulah dilakukan dgn penuh rasa tanggungjawab.

    Siasatan lanjut perlu dilakukan. Ini masalah serius!

    Mungkin pihak-pihak yang berkenaan perlu menubuhkan sebuah pasukan yang melibatkan para profesional dlm bidang bangunan / kawalan bangunan (jurutera bangunan, jurutera struktur, juruukur bangunan, etc) menjalankan siasatan forensik keatas bangunan berkenaan dan kejadian seumpamanya. Agar suatu masa nanti pakar-pakar kita dlm bidang ukur bangunan akan menjadi rujukan dlm situasi sedemikian.

    Takziah buat suadara kita. Buruh Indonesia juga manusia, mereka perlu meneruskan kehidupan.

    Irwan Mohammad Ali

    ReplyDelete
  3. Maaf tuan blog,

    'Anjakan bangunan' adalah 'setback' manakala 'tambahan dan ubahsuai' barulah 'extension and renovation'.

    Adakah kajian tuan sekitar tahun 2010 berkenaan 'setback' atau 'extension and renovation'? Kedua-dua istilah ini membawa maksud yang amat berbeza.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Anonymmous,

    Terima kasih atas komen anda.

    Bila diterjemah dari English ke Bahasa, anjakan = "setback". Saya setuju dgn anda.

    Saya hanya menggunakan istilah yang digunakan oleh kebanyakkan PBT dengan menafsirkan Anjakan Bangunan = Extension/renovation/modification...

    Dari segi Bahasa pun kita boleh faham bahawa anjakan merujuk kepada penambahan, pembesaran @ pelunjuran struktur. Umum mengetahui, "setback" adalah sebagai had kawasan bagi suatu unit bangunan/rumah itu.

    Irwan Mohammad Ali



    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas penerangan tuan blog.
      Komen saya mengambil kira istilah teknikal yg diguna pakai oleh Jabatan Perancang serta Jabatan Bangunan di PBT. Namun saya bersetuju dari istilah bahasa umum dengan mengatakan bahawa perbuatan yang sedang dilakukan oleh pihak kontraktor semasa kejadian tragis tersebut adalah 'menganjakkan bangunan' ke satu garisan bangunan yang baru. Rasanya pihak Principal Submitting Person (PSP) lebih arif tentang perkara ini. Untuk kepastian mungkin boleh dirujuk kepada juga kepada Pegawai Perancang di mana-mana PBT.
      Berbalik kepada topik asal, sememangnya saya bersetuju dengan pendapat tuan blog dan puan Sr.Terima kasih atas usaha tuan mengetengahkan isu ini.

      Delete
  5. Pemilik banglo runtuh berdepan tindakan undang-undang

    SHAH ALAM 19 Okt. - Pemilik banglo di Seksyen 7 di sini yang bumbung konkritnya runtuh ketika kerja-kerja pengubahsuaian semalam sehingga mengorbankan seorang pekerja bakal berdepan tindakan undang-undang kerana pengubahsuaian itu tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

    Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata pemilik banglo terbabit gagal memohon kelulusan pelan pengubahsuaian mengikut Seksyen 70(1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.

    "Kes ini kita akan bawa ke mahkamah kerana ada mangsa yang meninggal dunia. Di bawah peruntukan ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000.

    "MBSA bertindak tegas dalam hal ini kerana pemilik rumah sepatutnya mengemukakan permohonan untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian yang hanya mengambil tempoh 24 jam untuk diluluskan sekiranya permohonan mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

    Dalam kejadian itu, seorang buruh binaan warganegara Indonesia, Totok Mochamd Anthony, maut manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan itu runtuh.

    Seorang daripada mangsa putus kaki kanannya sementara 10 lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

    Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang ketika kesemua 16 pekerja binaan terbabit sedang melakukan kerja pengubahsuaian di bahagian dalam dan aras atas banglo dua tingkat itu.

    Mengulas lanjut, Mohd Jaafar berkata banglo yang terlibat dalam kejadian runtuh itu merupakan antara 26 unit banglo yang dibina dalam lima reka bentuk berlainan atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga jualan RM1.2 juta ketika diiklankan.

    Beliau berkata proses kelulusan pelan pembinaan bangunan utama membabitkan dua kali pindaan iaitu pada 11 April 2011 dan 12 Julai 2011, dengan kedua-duanya diluluskan.

    "Semua 26 unit banglo ini juga telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan yang dikeluarkan oleh jurutera atau arkitek yang bertanggungjawab pada 29 Dis 2011," katanya.

    Beliau berkata daripada 26 unit itu, empat banglo sedang dalam pengubahsuaian tetapi hanya dua sahaja yang memperolehi kelulusan pelan pengubahsuaian sementara dua lagi termasuk banglo yang terlibat dalam runtuhan itu tidak mempunyai kelulusan. - BERNAMA

    Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121019/je_04/Pemilik-banglo-runtuh-berdepan-tindakan-undang-undang#ixzz29lFO5qws
    © Utusan Melayu (M) Bhd

    ReplyDelete
  6. Pemilik Banglo Serah Tugas Mohon Kelulusan Pada Kontraktor

    SHAH ALAM, 19 Okt: Pemilik banglo dalam kejadian bumbung konkrit runtuh di Seksyen 7 di sini Khamis, menyerahkan tugas memohon kelulusan daripada Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) kepada kontraktor yang bertanggungjawab mengubah suai kediamannya.

    Beliau berkata sepanjang pengetahuannya, permohonan kelulusan pelan pengubahsuaian itu dibuat kontraktor tersebut pada hujung tahun lepas.

    "Menurut kontraktor berkenaan, permohonan sudah dibuat dan saya menjangkakan kelulusan telahpun diperoleh... apa pun saya tidak mahu komen lanjut berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi.

    Pada sidang akhbar pagi Jumaat, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata pemilik banglo itu gagal memohon kelulusan pelan pengubahsuaian mengikut Seksyen 70(1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.

    Mohd Jaafar berkata banglo yang terlibat dalam kejadian runtuh itu merupakan antara 26 unit yang dibina dalam lima reka bentuk berlainan atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan anggaran harga jualan RM1.2 juta seunit ketika diiklankan.

    Beliau berkata daripada 26 unit itu, empat banglo sedang diubah suai namun hanya dua yang memperoleh kelulusan pelan pengubahsuaian, sementara dua lagi termasuk banglo yang terlibat dalam kejadian runtuhan tersbut tidak mempunyai kelulusan. Mengulas lanjut, ahli perniagaan berumur 50-an yang enggan dikenali itu berkata banglo tersebut dibeli sejak dua tahun lepas dan memperoleh sijil layak menduduki (CF) pada April 2012.

    Beliau berkata proses pengubahsuaian itu berjalan sejak Julai lepas dan dijangka siap pada penghujung tahun ini, atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

    "Semalam, ketika dimaklumkan mengenai perkara itu... saya sangat terkejut dan tidak menyangka akan berlaku perkara malang seperti itu. Sekali sekala, saya akan pergi melawat rumah dan melihat buruh binaan menjalankan kerja pembinaan," katanya.Ahli perniagaan itu juga berkata laporan polis dibuat malam tadi, dan beliau memberi keterangan pagi Jumaat.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata pihaknya kini mengumpulkan keterangan beberapa saksi dan mangsa bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

    "Ada beberapa pihak berkaitan yang telah diambil keterangannya, dan kita masih menunggu laporan forensik daripada pihak MBSA untuk mengetahui laporan sebenar punca kejadian itu.

    "Pihak kami turut mengesahkan tiada lagi mangsa yang terperangkap dalam runtuhan terbabit, dan operasi menyelamat telah ditamatkan pagi tadi," katanya.

    Dalam kejadian itu, seorang buruh binaan warga Indonesia Totok Mochamd Anthony maut manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan runtuh.

    Seorang daripada mangsa putus kaki kanan sementara 10 lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

    Kejadian berlaku kira-kira 4.20 petang ketika semua 16 pekerja binaan terbabit sedang melakukan kerja pengubahsuaian di bahagian dalam dan aras atas banglo dua tingkat itu. -BERNAMA

    Sumber: http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/10/19/mstar_berita/20121019205848&sec=mstar_berita

    ReplyDelete
  7. jumpa juga blog tuan hari ini. Nampaknya alhamdulillah semakin besar kesedaran menegakkan profesion juruukur bangunan di negara ini.. sudah tentu hanya warga ukur bangunan (pelajar, pensyarah & pengamal) yang bertanggungjawab menyebarkan kepentingan BS ini, jika tidak siapa lagi?

    Sebarkan dan kongsi info bersama..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...